Thursday, May 16, 2013

Cukupkah Aku?


Embun pagi menerjah diri, bagaikan tersentap rasa hati tatkala mengenangkan siapa diri ini. Siapakah aku? Seorang manusia yang lahir daripada rahim ibunya. Cukupkah hanya itu yang perlu aku ketahui. Oh tidak, tidak sama sekali. Aku dilahirkan sebagai seorang Islam tapi adakah aku tahu siapa pencipta ku, tujuan dan mengapa aku hidup di muka bumi ini. Allah…Ya, Allah lah yang menciptakan aku dan alam ini. Ya, aku telah redha dengan Allah sebagai Tuhanku dan dengan Islam sebagai agamaku dan dengan Muhammad sebagai Nabi dan Rasulku.

Manusia dan alam adalah makhluk ciptaan Allah, tetapi manusia mempunyai taraf yang lebih tinggi berbanding makhluk lain Sementara asal usul manusia itu bermula daripada manusia pertama yang diciptakan Allah, iaitu Nabi Adam, dan bukannya jelmaan daripada makhluk lain, Allah juga menyatakan dengan jelas tujuan manusia dicipta, iaitu sebagai khalifah di bumi. Hakikat ini dapat dilihat dalam firman-Nya yang bermaksud : "Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi." (Surah al-Baqarah, ayat 30).

Sesuai dengan kejadian, manusia itu dicipta sebagai khalifah di bumi, maka Allah yang Maha Pencipta bukan saja mencantikkan kejadian manusia itu, malah menganugerahkan nikmat akal untuk membezakannya daripada makhluk lain. Dengan akal dan berpandukan pula ajaran Islam yang syumul lagi lengkap, maka peranan dan tanggungjawab manusia sebagai khalifah tentunya besar dan berat. Ia bukan hanya sekadar menyempurnakan tanggungjawab terhadap Penciptanya saja, iaitu Allah, malah bertanggungjawab terhadap hubungannya sesama manusia dan alam sekitar.

Islam mengajar penganutnya yang juga khalifah di bumi ini, supaya dapat mengimbangi kehidupan dunia dan kehidupan di akhirat sewajarnya. Di samping menganjurkan umatnya supaya beramal sebagai bekalan pada akhirat, Islam tidak pernah pula melarang umatnya daripada berusaha untuk kesejahteraan hidup di dunia. Yang berbeza adalah kaedah yang disarankan oleh Islam untuk berusaha bagi mencapai kesejahteraan itu. Wahh..ternyata begitu indahnya ajaran Islam.

Adakah aku bangga dilahirkan dunia ini sebagai seorang  Islam… Ya, aku memang aku berbangga. Bangga kerana keindahan ajaran Islam itu sendiri. Tapi persoalannya, sudah cukupkah aku berbangga dengan ajaran Islam yang aku aplikasi masuk ke dalam hati dan jiwa ini? Sudah cukupkah?

Hidup hanya bertuhankan Allah, mensatukan Allah, memuja dan mengagungkan Allah, sebagai Tuhan yang memerintah alam, memberi kekuatan jiwa yang cukup untuk manusia meneruskan hidup yang penuh dengan ujian. Apabila hati keluh kesah, merasa bahawa Allah sentiasa bersama. Ketika ditimpa musibah, faham itu cara Allah mendidik hamba yang dikasihi-Nya. Ketika menanam azam dan usaha, yakin bantuan Allah pasti akan mengiringi makhluk-Nya. Inilah sebab mengapa Islam dibanggai.

“Ya Allah, kami berlindung kepada-Mu dari menyekutukan Engkau dengan sesuatu yang kami ketahui dan kami memohon ampun dari (menyekutukan-Mu) dengan sesuatu yang tidak kami ketahui.”

“Ya Allah, Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan selain Engkau; Engkau yang menciptakan dan aku abdi-Mu, dan aku berada dalam perjanjian dengan-Mu, ikrar kepada-Mu, (yang akan kulaksanakan dengan) segala kemampuanku; dan aku berlindung pada-Mu, dari kejahatan apa-apa yang telah aku lakukan; aku mengakui (dengan sebenar-benarnya) nikmat-Mu kepadaku; dan aku mengakui dosaku, maka ampunilah aku, kerana tidak ada yang akan mengampuni dosa-dosa, kecuali Engkau.”

~Nieza Zamri~15/05/2012~

0 comments:

Post a Comment